Daripada
Ka’ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Hadirlah ke mimbar.” Maka kami semua pun hadir. Apabila baginda naik satu anak
tangga mimbar, baginda berkata, “amin” dan apabila naik anak tangga yang kedua,
baginda berkata “amin” dan apabila baginda naik anak tangga yang ketiga baginda
berkata “amin.” Apabila baginda turun, kami telah bertanya, “Ya Rasulullah!
Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah
kami dengar.” Beliau bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan
berkata : Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.
Maka aku berkata, amin.” “Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata :
Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan didepannya, tidak pula dia
menselawatimu. Maka aku berkata, amin.” “Apabila aku naik anak tangga yang
ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau
salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia
masuk ke dalam syurga. Aku berkata “amin.” [Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban di
dalam sahihnya] 1. Bersegeralah bertaubat meminta keampunan daripada Allah SWT
dan berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan itu lagi. Sesungguhnya
Allah itu Maha Pemurah, lagi Maha Pengampun. Tiada dosa dan kesalahan yang
tidak akan diampunkan-Nya, melainkan perbuatan syirik kepada-Nya. Oleh itu,
janganlah sesekali kita berasa sedih dan berputus asa terhadap-Nya. Selagi
nyawa dikandung badan, selagi itulah pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya.
Sabda Nabi SAW, ertinya: “Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu
(manusia) tidak melakukan dosa, nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan
mendatangkan satu kaum lain yang berdosa lalu mereka menyesal dan meminta
keampunan Allah, kemudian Allah akan mengampunkan mereka” [Riwayat Muslim, no
2749, 4/2106] 2. Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah
SAW terutamanya setiap kali nama baginda SAW disebut. Firman Allah SWT
yang acapkali dilafazkan oleh para khatib di masjid-masjid ketika khutbah
Jumaat; “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi.
Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam
penghormatan kepadanya. [al-Ahzab: 56] Diriwayatkan bahawa makna selawat Allah
kepada Nabi adalah pujian atas beliau di hadapan para malaikat-Nya, sedang
selawat malaikat bererti mendoakan manakala selawat umatnya bererti permohonan
ampun untuknya. (Demikian seperti disebutkan al-Bukhari dari Abul Aisyah). [2]
3. Berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapa kita sebelum terlewat. Hendaklah kita
sentiasa mengambil berat dan menjaga hati mereka lebih-lebih lagi tatkala usia
mereka semakin lanjut. Jangan sesekali kita berkasar terhadap mereka, kerana sesungguhnya
tiada suatupun yang dapat kita lakukan untuk membalas jasa-jasa yang telah
mereka taburkan ke atas kita. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Wa
iyazubillah, jangan sesekali kita menderhaka kepada kedua-dua orang tua kita.
selamat menyambut Ramadhan pada tahun ini… Mudah-mudahan kita beroleh
keberkatan dan istiqamah dalam beramal demi mencapai keredhaan-Nya. Ameen…
No comments:
Post a Comment